Siaran Akhbar dan Foto : Kementerian Pertahanan
REPUBLIK SINGAPURA, Sabtu, 30 Mei. - Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan Menteri Pertahanan II, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Awang Haji Halbi bin Haji Mohd. Yussof telah menghadiri Sarapan Pagi Bersama Menteri-Menteri Pertahanan ASEAN yang diadakan di samping IISS Shangri-La Dialogue Ke-23, di Shangri-La Hotel.
Sesi berkenaan telah dianjurkan bersama oleh Menteri Koordinasi bagi Perkhidmatan Awam dan Menteri Pertahanan, Republik Singapura, Tuan Yang Terutama Chan Chun Sing; dan Setiausaha Pertahanan Negara Republik Filipina, Yang Berhormat Gilberto C. Teodoro, Jr., selaku Pengerusi Mesyuarat Menteri-Menteri Pertahanan ASEAN (ADMM) bagi 2026.
Semasa acara berkenaan, menteri-menteri pertahanan dan wakil-wakil ASEAN telah mengesahkan komitmen teguh terhadap keamanan dan kestabilan serantau, berteraskan semangat kesepaduan ASEAN dan mengalu-alukan anjuran ADMM Ke-20 dan ADMM-Plus Ke-13 pada tahun ini.
Dalam acara berasingan, Yang Berhormat Menteri di JPM dan Menteri Pertahanan II bersama beberapa menteri-menteri pertahanan serta wakil-wakil daripada Negara-negara Anggota ASEAN dan Eropah telah menyaksikan pelancaran Guiding Principles for Underwater Infrastructure Defence Exchange (GUIDE) oleh Tuan Yang Terutama Menteri Koordinasi bagi Perkhidmatan Awam dan Menteri Pertahanan, Republik Singapura.
GUIDE adalah inisiatif tidak mengikat, pelbagai hala dan rentas wilayah yang diterajui oleh Republik Singapura bagi membawa bersama rakan-rakan pertahanan daripada Eropah dan Asia Tenggara untuk membentuk norma-norma kerjasama pertahanan dalam sekuriti Critical Underwater Infrastructure (CUI).
Di samping IISS Shangri-La Dialogue Ke-23, Yang Berhormat Menteri di JPM dan Menteri Pertahanan II telah mengadakan perjumpaan dua hala bersama Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pertahanan Australia, The Honourable Richard Marles MP; Tuan Yang Terutama Chan Chun Sing; dan Menteri Koordinasi bagi Keselamatan Negara dan Menteri Dalam Negeri Republik Singapura, Tuan Yang Terutama K. Shanmugam.
Turut menyertai perjumpaan dua hala berkenaan ialah Pesuruhjaya Tinggi Negara Brunei Darussalam ke Republik Singapura, Puan Yang Terutama Hajah Noor Qamar binti Haji Sulaiman.